ﺍﻟﺳﻼﻡ ﻋﻟﻳﻜﻡ ﻭﺭﺣﻣﺔ ﷲ ﻭﺑﺭﮐﺎﺗﻪ

 

Warga UiTM yang dikasihi,

 

Kewujudan UiTM hasil pengorbanan dan kepekaan bangsa Melayu bagi kemandirian legasi dalam pelestarian ilmu seterusnya mempunyai sosioekonomi yang baik dan seimbang di negara ini. Dalam mendukung matlamat tersebut, bangsa Melayu perlu memastikan perpaduan yang utuh serta kuat dipelihara agar keunggulan bangsa Melayu yang menjadi teras kepada kepada pembentukan Malaysia sentiasa dihormati. Selaras dengan itu, hak-hak keistimewaan bangsa Melayu perlu dibentengi kukuh dan Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu mesti dijunjung bersama. Peristiwa lalu yang membawa iktibar kepada kita semua bahawa betapa pentingnya kekuatan dalam sesebuah negara yang didukungi oleh tamadun yang bersifat autonominya iaitu melalui kepimpinan dan perubahan yang dibawa oleh bangsa Melayu itu sendiri. Selaras dengan objektif penubuhannya, UiTM juga perlu mengekalkan identitinya sebagai satu gedung ilmu yang beriltizam melahirkan anak bangsa Melayu Bumiputera yang berilmu cemerlang dan berprestasi tinggi dengan menyatupadukan warga UiTM daripada peringkat asas sehinggalah yang tertinggi dengan penerapan kefahaman berkaitan asal usul Melayu, budaya, jati diri serta nilai-nilai lestari Melayu yang melambangkan kelarisan kepercayaan terhadap agama, bangsa dan negara ini.

 

Prof. Emeritus Dato' Dr. Hassan Said
Naib Canselor
Universiti Teknologi MARA