Buku “Pemerkasaan Anak Bangsa: Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Ketuanan Melayu” ini adalah himpunan ceramah-ceramah dan kertas-kertas kerja yang telah dihasilkan oleh felo-felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) dan juga penceramah-penceramah jemputan dalam ‘Siri Ceramah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Ketuanan Melayu’ yang telah diadakan di semua kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bulan Julai dan Ogos 2010.

Siri ceramah ini merupakan cetusan idea Y.Bhg Dato’ Prof. Ir Dr Sahol Hamid bin Abu Bakar, Naib Canselor UiTM yang ingin menerapkan kesedaran nilai-nilai jati diri anak bangsa di kalangan pelajar UiTM. Dalam siri ceramah ini, IMPAK telah memberikan perhatian khusus mengenai isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta Raja-raja Melayu di Malaysia. Ini adalah ekoran daripada sesetengah kumpulan masyarakat yang sering kali mempersoalkan tentang perkara-perkara tersebut yang telah sekian lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.

Adalah menjadi harapan IMPAK dan UiTM agar huraian-huraian yang telah diberikan dalam buku ini dapat membantu memperjelaskan keadaan sebenar mengenai kedudukan hak-hak keistimewaan orang Melayu, Bumiputera dan Raja-raja Melayu. Hak-hak keistimewaan ini tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia.