‘Minoriti’ selalunya merujuk kepada satu kaum atau kumpulan etnik yang kecil bilangannya dikelilingi oleh kaum yang lebih ramai bilangannya; kaum yang lemah di samping kaum perdana dalam satu Negara yang berbilang bangsa. Retorik yang lazim didengar ialah diskriminasi terhadap kaum minority. Kadang-kadang kedengaran juga kegusaran apabila pertambahan bilangan penduduk dari kumpulan minoriti mula menunjukkan tanda-tanda mengubah bentuk demografi sesuatu negara. Perbezaan antara kaum minoriti dan majoriti lebih terserlah apabila mereka bukan sahaja berbeza dari segi bentuk fizikal seperti warna kulit tetapi juga dari segi bahasa dan budaya. Lebih kompleks lagi keadaaannya jika kedua-dua kaum majoriti minority itu mewarisi tradisi dari tamadun yang besar dan gemilang pada zaman silam.

Masyarakat Melayu Champa (Kemboja), Pattani (Selatan Thailand) dan Ayuthia (Tengah Thailand) mengalami nasib yang hampir sama, ditindas oleh pemerintah masing-masing kerana mereka adalah kaum minoriti (Melayu dan Islam). Mereka tidak diberikan peluang untuk berjaya samada dalam pendidikan, pekerjaan mahupun politik berbanding kaum-kaum lain di Negara mereka.

Dalam sejarah manusia, berjaya atau tidaknya sesuatu bangsa itu bergantung kepada nilai-nilai yang dipegang dan diamalkan oleh bangsa itu. Antara nilai-nilai ini ialah bersusila, berhemah tinggi, rajin, bekerja sendiri, berniaga, budaya kerja untuk bersaing dan sebagainya. Sifat dan nilai murni dalam keluarga akan dibawa ke alam persekolahan dan begitulah sebaliknya jika sifat-sifat negatif yang diperolehi dalam keluarga akan mempengaruhi dalam alam persekolahan dan masyarakat. Seterusnya, kejayaan anak-anak di alam persekolahan (rendah dan menengah) amat penting dalam memastikan kejayaan sesebuah masyarakat, dan seterusnya penglibatan dalam sosial dan politik negara mereka. Mereka yang berjaya dan berpendidikan tinggi akan memastikan bagsa mereka terus terbela dalam pendidikan, sosial dan politik.

Kajian ini bertujuan untuk menilai dan membandingkan masyarakat Melayu Champa, Pattani dan Ayuthia dalam domain keluarga, pendidikan, sosial dan politik. Adakah pendidikan awal dalam keluarga yang diamalkan pada masa kini dalam setiap masyarakat tersebut akan memastikan bangsa mereka terus releven dan terbela? Adakah setiap masyarakat tersebut diberikan peluang pendidikan yang sama seperti bangsa majoriti di negara untuk berjaya dalam pendidikan di peringkat yang lebih tinggi? Adakah mereka masih berpeluang untuk melibatkan diri secara sosial dan politik sama seperti bangsa majoriti? Apakah terdapat perbezaan ketara di antara masyarakat Melayu Champa, Pattani dan Ayuthia dalam domain keluarga, pendidikan, sosial dan politik?