Kajian ini bertujuan untuk menilai sejauh mana persatuan-persatuan usahawan Bumiputra memainkan peranan dalam menjaga kepentingan usahawan kecil dan sederhana (IKS) bumiputera. Ini merupakan kajian kualitatif dan oleh itu akan memberi tumpuan kepada pengumpulan maklumat yang intensif bagi setiap responden kajian, khususnya tentang isu-isu berkaitan dengan IKS Bumiputera dan persatuan yang mereka anggotai. Responden sasaran terbahagi kepada dua: (1) Usahawan IKS yang menganggotai sekurang-kurangnya satu persatuan; dan (2) wakil persatuan usahawan IKS. Oleh kerana ini adalah kajian kuanlitatif, bilangan responden yang disasarkan ialah 50 orang yang mewakili pelbagai jenis sektor dan saiz perniagaan diseluruh Negara. Bagi persatuan pula, sebanyak 20 persatuan akan dipilih daripada senarai persatuan-persatuan yang dibina berpandukan carian internet dan juga sumber rujukan lain seperti akhbar dan media lain. Rangka pensempalan bagi usahawan yang bakal digunakan ialah laman sesawang yang menyediakan direktori IKS seperti IKSMalaysia.com, rights.com dan usahawanbumiputra.blogsport.com. Pengumpulan data ialah melalui temubual berdepan dengan pemilik IKS yang bakal dipilih untuk mengambil bahagian menggunakan instrumen tanpa struktur. Pendekatan yang serupa juga akan digunakan bagi wakil persatuan-persatuan IKS. Kaedah ini dijangka dapat memberi maklumat yang lebih terperinci tentang pandangan usahawan IKS terhadap persatuan dan juga faktor-faktor kejayaan sesebuah persatuan berkenaan.

Oleh kerana kajian ini merupakan kajian awal, analisis yang digunakan tertumpu kepada analisis huraian dalam bentuk jadual dan geraf. Analisis kelompok (cluster) juga akan digunakan untuk mengenalpasti ciri-ciri yang serupa serta yang membezakan IKS dari aspek pendapat terhadap dan tahap penglibatan dengan persatuan IKS. Bagi persatuan pula, analisis tertumpu kepada jenis-jenis program yang dapat dilaksanakan serta faktor kejayaan/kegagalan program-program berkenaan. Hasil kajian ini dijangka dapat mengenalpasti persatuan yang berjaya membantu ahli-ahlinya dan seterusnya mengenalpasti program bantuan yang boleh dijadikan sebagai model dan persatuan-persatuan lain dalam usaha meningkatkan lagi prestasi IKS Bumiputera.