Tarikh : 6 Januari 2011

Tema :  Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa 
Ucaptama :   Y.A. Bhg. Tun Mahathir Mohamed. Turut dibentangkan tiga kertas kerja lain.
Penutup : Disempurnakan oleh YB Dato’ Mukhriz Tun Mahathir. Terbuka kepada staf dan pelajar UiTM.

Terima kasih kepada semua warga kampus yang telah memenuhi Dewan Seri Budiman dan Dewan Annexe. Terima kasih khas kepada Pengarah dan warga UiTM Pahang yang telah menghantar sebuah bas meramaikan majlis.

 

Ucaptama Tun Mahathir Mohamad di Seminar Perpaduan

IMPAK telah menjemput bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad bagi menyampaikan Ucaptama di Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa yang telah berlangsung pada 6 Januari 2011 bertempat di Dewan Seri Budiman UiTM Shah Alam. Seminar ini merupakan seminar pertama dalam siri Seminar Perpaduan yang akan diadakan di setiap kampus cawangan UiTM dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Insan.

Y.Bhg. Tun Mahathir juga turut memberikan pandannya atas beberapa isu khususnya pilihanraya umum ke-13. Menurutnya pilihan raya umum ke-13 tidak perlu diadakan dalam masa terdekat, meskipun wujud pelbagai isu politik yang hangat pada tahun lepas.

“Sama ada pilihan raya umum perlu diadakan dalam masa terdekat, ataupun tidak, masalah seperti ini (isu politik panas) akan tetap timbul juga."

“Adakah kerajaan bersedia mengadakan pilihan raya umum lebih awal (dalam senario politik sekarang),” katanya ketika ditanya sama ada pelbagai isu hangat yang melanda negara tahun lepas dan awal tahun ini menjadi petunjuk bagi pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptama, Dr Mahathir berkata semangat perpaduan Melayu menentang Malayan Union pada 1940-an perlu dibangkitkan semula dalam senario politik semasa.

Beliau berkata pada ketika itu, semua orang Melayu, tanpa mengira kedudukan dan ideologi politik, telah bersatu menentang gagasan tersebut yang akhirnya menjadi perintis kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

“Orang Melayu tanpa mengira fahaman politik, perlu kembali berpegang kepada semangat perpaduan tulen seperti mana berlaku sewaktu menentang gagasan Malayan Union tajaan British pada tahun 1940-an,” katanya.

Mengulas cadangan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, Dr Mahathir berkata walaupun ia membenarkan orang Melayu menjadi Perdana Menteri dan kaum lain dilantik sebagai timbalannya, namun orang Melayu akan tetap terpinggir.

Beliau berkata ini kerana mereka akan memberi keutamaan kepada merit dan sudah pasti kaum lain akan muncul sebagai yang terbaik, dan akhirnya orang Melayu akan menjadi seperti di Singapura iaitu terpinggir serta ditindas.

“Bukan mahu mengatakan orang Melayu ini tidak berkeupayaan, tetapi kalau nak lihat orang Melayu kita jadi macam di Singapura, undilah parti lawan,” katanya sinis.