KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) - Seorang ahli akademik berhasrat menghasilkan satu rangka tindakan komunikasi visual yang berkesan untuk menyatukan semula masyarakat Melayu di negara ini.

Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Ghazali Daimin berkata perpecahan masyarakat Melayu ekoran perubahan senario politik dilihat membimbangkan akibat terpengaruh dengan iklan grafik yang banyak dipaparkan melalui media.

"Kajian ini adalah untuk menyatukan semula bangsa Melayu sama ada Umno, PAS atau PKR. Saya akan hasilkan poster, iklan, billboard yang mengambil kira pelbagai elemen grafik termasuk typoghaphy, gambar dan warna supaya apabila penyokong PAS lihat, dia tidak marah kepada Umno dan sebaliknya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Komunikasi Visual dalam Perpaduan Melayu: PRU13 pada Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2013 di sini Khamis.

Ghazali berkata sejak pilihan raya umum 2008, masyarakat Melayu mula tidak sehaluan malah menegaskan kempen yang dijalankan pada PRU13 lepas bersifat negatif dan banyak menghentam antara satu sama lain.

Semasa sesi pembentangan, beliau berkata visual dan grafik yang digambarkan di blog-blog semasa kempen pilihan raya umum lepas tidak melambangkan sifat sebenar masyarakat Melayu.

"Banyak paparan di papan-papan iklan juga memberikan gambaran dan persepsi yang tidak baik, serta kata-kata yang kasar walaupun terhadap bangsa sendiri hanya semata-mata berlainan fahaman politik. Jadi susah untuk Melayu hendak bersatu," katanya.

Beliau berkata ini berbeza dengan kempen visual yang dijalankan di Indonesia dan Amerika Syarikat yang lebih banyak memaparkan kelebihan dan keperkasaan diri sendiri berbanding memburuk-burukkan pihak lawan.

Baru memulakan kajiannya Januari lepas, Ghazali berharap rangka tindakan itu dapat dihasilkan dalam tempoh dua tahun.

Beliau juga berharap jika kajian itu diterima, ia dapat dijadikan panduan untuk parti-parti politik menjalankan kempen masing-masing pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya telah mengadakan survey di Terengganu dan ujian perintis di Shah Alam. Maklum balas awal yang saya terima, ramai yang sukakan konsep perpaduan dan keislaman," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pembentang Dr Adzrool Idzwan Ismail juga dari UiTM berkata politik kebencian telah diasuh di kalangan generasi Y melalui media sosial.

Katanya apa yang dipaparkan di laman-laman itu merupakan pendapat berdasarkan emosi dan bukannya rasional atau fakta.

"Fakta dan pendapat yang tidak matang sangat bebas diutarakan untuk mereka mendapatkan apa yang diingini," katanya.

BERNAMA