Pada umumnya, Identiti Organisasi (IO) adalah kemampuan sesebuah organisasi untuk menentukan ciri-ciri teras yang tersendiri, khusus dan lestari. Melihat dari sudut fungsi, konstruk sosial, pascamodenisme dan psikodinamik, IO ini menekankan dialektik dalaman luaran identiti kolektif pemegang taruh di dalam sesebuah organisasi tersebut dan diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya. Berdasarkan identiti yang terbentuk, IO lahir melalui bentuk, fungsi, tingkah laku dan emosi. Secara ringkasnya, IO boleh dianggap penjelmaan warisan identiti warganya dan juga sebaliknya. Mengenali asal usul atau salasilah sesuatu identiti adalah fitrah. Perkara ini dapat dilakukan dengan melihat secara jelas dan secara bersama segala dimensi yang tercerap dalam DNA kita. Jelasnya, ini dilakukan bagi melihat kecenderungan terhadap kekuatan lahiriah dan batiniah benda hidup tersebut. Konsep penjelmaan identiti boleh dirujuk kepada konsep identiti Asid Deoksiribonukleik. (juga dikenali dengan kependekan bahasa Inggerisnya DNA iaitu Deoxyiribonucleic Acid) merupakan komponen kimia utama kromosom yang menghasilkan gen. Menariknya, gejala ini kerap dipanggil molekul warisan atas keadaannya yang boleh mewariskan sifat-sifat daripada organisma induk. Menggunakan istilah DNA sebagai metafora, sekumpulan penyelidik akademik UiTM bersama IMPAK mengambil inisiatif bagi menjalankan satu kajian pembetukan Model DNA. Aspirasi utama pembentukan model ini ialah bagi menggambarkan warisan warga UiTM yang mempunyai ikatan utuh sesebuah keluarga dalam konteks ini, merujuk kepada UiTM sebagai sebuah organisasi. UiTM merupakan sebuah organisasi unggul yang berperanan dalam memajukan Melayu Bumiputera supaya menjadi satu bangsa yang cemerlang berusaha, bertaqwa dan mulia. Berinspirasikan moto, Usaha, Taqwa, Mulia, UiTM mempunyai tanggungjawab besar untuk menyemai nilai integriti serta perpaduan yang utuh dalam kalangan warganya . Pembentukan Model DNA UiTM ini dipercayai dapat meningkatkan semangat jati diri UiTM, mendukung perancangan strategik universiti dan seterusnya melahirkan warga lestari berfikiran global dan bersikap rumpun selain dapat menerapkan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan perjuangan anak bangsa.

